Tuesday, July 14, 2009

65 undi majoriti tipis

Pilihanraya Kecil Dun Manek Urai sudah selesai. Kemenangan calon PAS mengatasi calon UMNO/BN dengan hanya majoriti tipis 65 undi menimbulkan pelbagai andaian dan ulasan oleh ahli-ahli politik semasa negara.
Bagi penulis pula, penulis merasakan mungkin ada sedikit momentum atau aura baru yang dibawa oleh Dato Seri Najib dengan perubahan isu nasional hingga sedikit tempias sampai ke Manek Urai. Slogan SATU MALAYSIA serta Pemansuhan PPSMI memberi impak positif untuk parti UMNO di Manek Urai.
Manakala PAS pula, kemenangan tipis ini mungkin disebabkan isu sedikit pertelingkahan kecil diantara Mursyidul Am dan Timbalan Presiden PAS sendiri baru-baru ini.
Apa-apa pun, pilihanraya sudah selesai. Yang menang pun telah dipilih. Bagi penulis, demokrasi itu unik. Dan kuasa Allah tidak boleh dilupakan, seseorang itu boleh duduk di atas atau terus jatuh dalam sekelip mata dengan izin Allah Taala.
Qada' dan Qadar adalah rukun iman yang perlu dipatuhi oleh seluruh umat islam

Monday, July 13, 2009

SEKEPING FOTO, SERIBU MAKNA..

1) Gambar yang menunjukkan Presiden Barack Obama dan Presiden Nicholas Sarkozy menjeling ke arah seorang gadis Brazil berumur 16 tahun yang bernama Mayara Tavarez semasa perhimpunan pemimpin-pemimpin G8 di Itali tiba-tiba telah menjadi tumpuan laman-laman internet seluruh dunia.
2) Jika pembaca melihat foto ini yang banyak tersebar di internet, sekali pandang menunjukkan Presiden Obama sedang menjeling ke arah bahagian belakang gadis itu yang mengenakan pakaian ketat berwarna terang, malahan Presiden Sarkozy pula yang berdiri bersebelahan dengan Obama juga menjeling kearah yang sama.
3)Jika kita meneliti dengan betul, mungkin ini juga disebabkan oleh kesan visual sudut kamera tersebut. Ini terbukti dengan video di laman 'you tube' dimana Presiden Obama sedang membantu seorang wanita untuk menuruni tangga di belakang beliau. Manakala Presiden Sarkozy pula mungkin memerhati Obama membantu wanita Berkulit hitam itu.
4) Oleh yang demikian, kita tidak boleh cepat memberikan andaian hanya dengan melihat sekeping foto sahaja. sekeping foto boleh memberi pelbagai erti kepada sesiapa yang melihatnya.
5) Lebih-lebih lagi, pada zaman internet dengan berbagai-bagai alatan canggih sekarang, foto juga boleh diubahsuai untuk kepentingan tertentu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
6) Sebelum membuat andaian, kita perlu ada bukti yang kukuh. Jika tidak, andaian yang kita buat mungkin boleh membawa padah pada diri sendiri.
7) Dalam Islam juga mengajar, kita tidak boleh menuduh seseorang tanpa usul periksa dan bukti yang benar-benar. Dosa amat besar bagi menuduh orang tanpa sebarang bukti yang sahih. Penulis mengajak semua pembaca blog ini agar berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan. Ingat -ingatlah peribahasa melayu kita "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa"

Friday, July 10, 2009

Pengurusan Masa

Dewasa ini, majoriti pasangan suami isteri di bandar-bandar mempunyai kerjaya masing-masing. Lebih tepat lagi, kedua-dua pasangan bekerja. Oleh itu, pengurusan masa amatlah penting untuk memudahkan perjalanan rumahtangga. Bila suami isteri bekerja, tanggungjawab penjagaan anak pada waktu bekerja akan diletakkan kepada nursery, pengasuh atau pembantu rumah.
Disinilah perlunya pengurusan masa yang efektif untuk memelihara keharmonian rumahtangga. Suami isteri perlu ada sifat toleransi, tolong menolong dan sabar menghadapi segala cabaran. Sebagai contoh, untuk menghantar anak ke nursery atau taska, kita perlu pandai memilih nursery yang bersesuaian. Untuk yang lebih baik, seeloknya bayi yang dijaga tidak lebih dari 6 orang pada satu-satu masa. Ini juga untuk mengelakkan dan mengurangkan risiko jangkitan virus antara kanak-kanak terbabit. Persekitaran penjagaan kanak-kanak juga perlu diutamakan. Jika menghantar anak kepada pengasuh pula, perlu diteliti bagaimana persekitaran rumah pengasuh itu termasuk kebersihan dan cara penjagaannya.
Ibu bapa yang bekerja juga hendaklah mencari masa untuk meluangkan masa dengan anak-anak. Ini untuk mengeratkan lagi hubungan serta kasih sayang. Walaupun anak-anak dijaga dan diajar di taska, dirumah bila bersama ibu bapa juga hendaklah diberi didikan agama dan sebagainya dengan secukupnya.
Kesimpulannya, suami isteri yang bekerja perlu pandai 'time management' untuk melicinkan perjalanan rumah tangga.