Pada minggu lepas, saya telah menghadiri satu kursus selama 3 hari di Pulau Pinang. Banyak bezanya Pulau Pinang dengan negeri yang saya menetap iaitu Pahang. Tanggapan saya yang pertama sekali bila sampai di bahagian pulau di Pulau Pinang, majoriti masyarakatnya adalah dari kaum Cina. Tidak dinafikan ada juga kaum-kaum lain iaitu Melayu, India termasuk India Muslim (mamak), akan tetapi kebanyakkannya dari kaum Cina. Pulau Pinang bagaikan sebuah negeri seperti Hongkong atau Singapura. Mungkin tidak salah jika saya namakan Pulau Pinang sebagai Singapura Malaysia. Bagi saya, jika sesiapa yang ingin melihat masyarakat majmuk di Malaysia, datanglah ke Pulau Pinang untuk melihat masyarakat majmuk berteraskan 3 majoriti kaum iaiti melayu,cina dan india di sini. Sebenarnya, saya tidak ingin bercerita panjang lebar mengenai kaum majoriti di sini.
Perkara yang ingin saya luahkan ialah mengenai pembangunan pesat di Pulau Pinang. Kemajuan pembangunan di bahagian pulau berbeza sekali dengan di bahagian seberang Pulau Pinang. Mungkin juga Pulau Pinang telah lama wujud sebagai pelabuhan terkenal sejak Francis Light menemui pelabuhan di sini. Bangunan-bangunan lama dan baru menunjuk kekuatan ekonomi negeri ini. Faktor penduduk disini yang majoritinya cina juga memainkan peranan dalam kemajuan negeri ini. Kaum Cina yang terkenal dengan sifat rajin berniaga membantu memacu perkembangan ekonominya.
Kemajuan negeri ini juga datang dari segi perlancongan. Saya lihat ramai pelancong-pelancong asing dari Eropah dan Asia berkunjung ke negeri ini. Dengan kemudahan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Bayan Lepas memudahkan pelancong melancong ke negeri Pulau Pinang. Pengisytiharan bandar Georgetown sebagai tapak warisan UNESCO baru-baru ini juga memberi kelebihan kepada Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pelancongan. Keindahan pantai-pantai sepanjang pulau ini seperti Batu Feringhi dan banyak lagi memberi pilihan terbaik pelancong dari dalam dan luar negara.
Seperkara lagi yang tidak boleh dilepaskan apabila anda berada di Pulau Pinang ialah merasai keenakkan masakan terkenal masyarakat kaum India muslim (mamak) iaitu nasi kandar. Saya sempat menjamu selera menjamu selera nasi kandar di Kedai Kapitan Nasi Kandar. Saya juga sempat menjamah pasembor iaitu sejenis makanan seperti rojak yang terkenal di Padang Kota.
Selama 3 hari berada di Pulau Pinang, boleh dikatakan Pulau Pinang sebuah negeri yang maju yang kaya dengan tempat menarik dan pelbagai makanan yang menyelerakan.
1 comment:
uiks... interesting..btw, i'm your patient.hahaha
ada kesilapan ayat kat baris ke-4 terakhir.
Post a Comment