Wednesday, September 30, 2009

pelaburan 2.5 billion US dollar Saudi-Malaysia

1. Termeterai perjanjian usahasama pelaburan sebuah syarikat dari Arab Saudi dan Malaysia yang bernilai 2.5 biilion US dollar menunjukkan contoh yang baik kerjasama di antara negara-negara islam. Perjanjian ini di antara Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan PetroSaudi International Limited (PSI).
2. Malaysia tidak boleh hanya bergantungan kepada negara Eropah dan Amerika Syarikat untuk pelaburan negara. Alternatif usahasama pelaburan di negara-negara Arab mungkin satu pilihan yang sesuai setelah melihat masalah ekonomi dunia yang meleset yang ada hubungkaitnya dengan Amerika dan Eropah.
3. Diharapkan pelaburan ini dapat melonjakkan ekonomi negara kita. Usahasama antara negara islam ini boleh dijadikan model oleh seluruh negara OIC untuk menguatkan lagi hubungan mereka. Untuk perkembangan ekonomi dan juga kestabilan negara masing-masing.

Monday, September 28, 2009

carik-carik bulu ayam

1.Bulan Ramadhan mendekatkan umat Islam sebagai hambaNya kepada Pencipta iaitu Allah Yang Maha Esa

2.Bulan Syawal pula yang disambut olah umat islam seluruh dunia adalah untuk meraikan kemenangan berpuasa di bulan Ramadhan, disamping itu juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim keluarga dan kenalan.

3.Amalan bermaafan semasa di hari raya, ziarah menziarahi ke rumah saudara sesama islam dan menghadiri rumah terbuka menguatkan lagi tali silaturrahim.

4. Persengketaan di antara dua insan dileraikan dengan tangan dihulur bersalaman memohon kemaafan sesama mereka.

5. Sanak saudara yang berjauhan beramai-ramai balik ke kampung bertemu beramah mesra mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

6. Di masa inilah , terserlah konsep 'yang tua dihormati, yang muda disayangi' bila melihat kanak-kanak bersalaman dengan datuk, nenek serta ibubapa mereka, manakala kanak-kanak riang mendapat duit raya pemberian orang tua.

7. Pertelingkahan, salah faham di dalam keluarga pudar dan hilang dengan ucapan mohon maaf zahir dan batin di hari lebaran. Benarlah peribahasa melayu kita 'carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga'

Thursday, September 24, 2009

Institusi Ramadhan

1. Alhamdulillah, kita telah berjaya mengharungi bulan ramadhan yang berkat. Kemenangan umat islam di bulan puasa pula disambut dengan hari raya aidilfitri.
2. Saya ingin mengajak pembaca semua, marilah kita bermuhasabah. Adakah sebulan bulan ramadhan ini, setelah dididik dengan puasa disiang hari, amalan solat terawih di malam hari serta tilawah al quran dan qiamullail, kita dapat menjadi seorang yang lebih bertaqwa berbanding pada masa lalu.
3. Jika di bulan Ramadhan, kita lihat masjid-masjid penuh dengan umat islam solat berjemaah, adakah kita boleh beristiqamah untuk terus pergi ke masjid untuk bersolat jemaah lagi. Tepuk dada tanya iman..
4. Oleh itu, saya mengingatkan diri saya sendiri dan pembaca semua, kita sama-sama beristiqamah meneruskan amalan-amalan yang telah dipelajari semasa di institusi ramadhan ini.
5. Tidak lupa juga, rebutlah peluang puasa 6 hari di bulan Syawal untuk mendapat kelebihan yang berganda dari Allah Taala.

Saturday, September 12, 2009

BALIK KAMPUNG

Setiap kali menjelang hari raya aidilfitri, orang ramai akan balik ke kampung masing-masing menyambut hari lebaran bersama sanak saudara.
Bagi yang telah berumahtangga, balik kampung pula bergantung kepada giliran kampung suami atau isteri. Satu kelebihan jika suami isteri dikampung yang sama.
Disebalik orang ramai balik kampung pada musim perayaan ini, ada juga sesetengah orang yang tidak dapat beraya dikampung kerana tugas dan sebagainya. Namun, hari raya akan terus disambut oleh masyarakat islam.
Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan
SELAMAT BERCUTI
SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN

ikhlas daripada
syukra, syikin dan umair husaini

Wednesday, September 9, 2009

Mencari Lailatul Qadar

Sekarang telah masuk akhir fasa 10 kedua dalam ramadhan. Insyaalah tidak lama lagi kita akan masuk ke fasa 10 ketiga ramadhan. Sepertimana yang kita semua telah ketahui, pada akhir 10 Ramadhan ini, pendapat kebanyakkan ulama muktabar menyatakan terdapat suatu malam yang dinamakan lailatul qadar pada salah satu malam-malam ini. Lailatul qadar yang penuh dengan fadhilat dan kelebihannya diberi olah Allah untuk umat manusia.
Marilah kita sama-sama perbanyakkan amal ibadat seperti solat terawih berjemaah, membaca dan bertadabbur al quran, bersedekah dan sebagainya disamping berpuasa di siang hari. Disini saya ingin mengingatkan diri saya sendiri serta pembaca semua untuk terus berusaha gigih untuk mendapatkan kelebihan lailatul qadar ini.
Tidak dapat dinafikan, pada ketika ini juga, warga masyarakat kita kebiasaannya beramai-ramai berkunjung ke pusat membeli belah untuk persiapan hari raya. Ketua keluarga membawa isteri dan anak-anak untuk membeli pakaian baru untuk hari raya, tetapi mereka lupa untuk mengajak keluarganya memperbanyakkan amal ibadat di bulan ini.Kaum wanita pula sibuk membuat biskut raya di rumah hinggakan mengabaikan solat terawih dan amalan-amalan lain yang dituntut dalam bulan puasa ini.
Oleh yang demikian, saya mengajak pembaca semua, marilah kita mengambil peluang ini untuk mendapatkan kelebihan-kelebihan yang ada dalam lailatul qadar ini. Kita juga tidak tahu, adakah kita masih diberi peluang untuk berjumpa dengan ramadhan yang akan datang. Jadi, sama-samalah kita berusaha mencari lailatul qadar ini..

Thursday, September 3, 2009

52 TAHUN MERDEKA

1.Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 52 pada 31 Ogos yang lalu bagi semua rakyat Malaysia.
2.Tahun ini, sambutan yang diadakan tidak seperti tahun-tahun terdahulu disebabkan oleh wabak H1N1 dan juga menghormati bulan Ramadhan yang disambut oleh masyarakat Islam. Tiada pertunjukan bunga api yang digantikankan dengan tahlil dan doa selamat serta solat hajat oleh ketua-ketua kerajaan serta rakyat jelata amatlah bertepatan lebih lebih lagi diwaktu ekonomi yang merudum ini. Bersama-sama mengelakkan pembaziran dan memperbanyakkan amal ibadat di bulan yang mulia ini.
3.Setelah 52 tahun merdeka, marilah kita membuat muhasabah, adakah diri kita sendiri benar-benar merdeka. Merdeka bukan sahaja dari penjajah, merdeka yang lebih luas skopnya. Merdeka dari segi perhambaan daripada ajaran, cara hidup dan teori-teori penjajah kepada perhambaan yang tulen dan satu iaitu Allah yang Maha Esa.
4.Jika 52 tahun itu diukur dengan hayat seorang manusia, seorang yang berumur 52 tahun mungkin telah banyak pengalaman hidupnya. Jika dibandingkan dengan seorang pekerja berumur 52tahun, beliau mungkin dikatakan seorang 'consultant' dalam sesuatu bidang yang beliau ceburi. Pada ketika inilah, pengalaman dan kepakarannya ditagih untuk kemajuan sesebuah organisasi itu serta untuk melatih pelapis generasi baru beliau.
5. Malaysia setelah 52 tahun merdeka, telah banyak transformasi berlaku. Dari sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada negara yang berasaskan teknologi. Walaupun begitu, pembangunan yang dicapai masih tidak menyeluruh. Masih ada segelintir masyarakat Malaysia yang tercicir dari arus pembangunan moden ini. Jurang antara masyarakat luar bandar dan bandar yang jauh bezanya. Kaum bumiputera juga masih ketinggalan dalam sektor ekonomi negara berbanding dengan kaun bukan bumiputera.
6. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia semua seharusnya menyahut cabaran ini, mengambil langkah yang proaktif untuk memajukan diri sendiri, keluarga dan seterusnya masyarakat semua tidak mengira kaum dan agama. Islam mengajar umatnya supaya bekerja bersungguh-sungguh di dunia untuk kesejahteraan hidup di dunia disamping tidak melupakan tanggungjawab hakiki untuk kehidupan akhirat kelak.
7. Marilah kita semua menguatkan semangat dan azam sempena dengan sambutan kemerdekaan negara kita untuk memperbaiki diri menjadi seorang rakyat yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.