Thursday, September 3, 2009

52 TAHUN MERDEKA

1.Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 52 pada 31 Ogos yang lalu bagi semua rakyat Malaysia.
2.Tahun ini, sambutan yang diadakan tidak seperti tahun-tahun terdahulu disebabkan oleh wabak H1N1 dan juga menghormati bulan Ramadhan yang disambut oleh masyarakat Islam. Tiada pertunjukan bunga api yang digantikankan dengan tahlil dan doa selamat serta solat hajat oleh ketua-ketua kerajaan serta rakyat jelata amatlah bertepatan lebih lebih lagi diwaktu ekonomi yang merudum ini. Bersama-sama mengelakkan pembaziran dan memperbanyakkan amal ibadat di bulan yang mulia ini.
3.Setelah 52 tahun merdeka, marilah kita membuat muhasabah, adakah diri kita sendiri benar-benar merdeka. Merdeka bukan sahaja dari penjajah, merdeka yang lebih luas skopnya. Merdeka dari segi perhambaan daripada ajaran, cara hidup dan teori-teori penjajah kepada perhambaan yang tulen dan satu iaitu Allah yang Maha Esa.
4.Jika 52 tahun itu diukur dengan hayat seorang manusia, seorang yang berumur 52 tahun mungkin telah banyak pengalaman hidupnya. Jika dibandingkan dengan seorang pekerja berumur 52tahun, beliau mungkin dikatakan seorang 'consultant' dalam sesuatu bidang yang beliau ceburi. Pada ketika inilah, pengalaman dan kepakarannya ditagih untuk kemajuan sesebuah organisasi itu serta untuk melatih pelapis generasi baru beliau.
5. Malaysia setelah 52 tahun merdeka, telah banyak transformasi berlaku. Dari sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada negara yang berasaskan teknologi. Walaupun begitu, pembangunan yang dicapai masih tidak menyeluruh. Masih ada segelintir masyarakat Malaysia yang tercicir dari arus pembangunan moden ini. Jurang antara masyarakat luar bandar dan bandar yang jauh bezanya. Kaum bumiputera juga masih ketinggalan dalam sektor ekonomi negara berbanding dengan kaun bukan bumiputera.
6. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia semua seharusnya menyahut cabaran ini, mengambil langkah yang proaktif untuk memajukan diri sendiri, keluarga dan seterusnya masyarakat semua tidak mengira kaum dan agama. Islam mengajar umatnya supaya bekerja bersungguh-sungguh di dunia untuk kesejahteraan hidup di dunia disamping tidak melupakan tanggungjawab hakiki untuk kehidupan akhirat kelak.
7. Marilah kita semua menguatkan semangat dan azam sempena dengan sambutan kemerdekaan negara kita untuk memperbaiki diri menjadi seorang rakyat yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

No comments: