Seluruh dunia menyambut Hari Ibu pada setiap hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun. Tidak dapat dipastikan asal usul sambutan hari ibu ini, siapakah atau dari manakah perayaan ini ula diadakan. Bagi penulis, saya tidak membantah sepenuhnya perayaan hari ibu ini, akan tetapi bila kita mengambil pengajaran yang telah ditunjukkan oleh rasulullah dan ajaran Islam yang sebenar, ibu merupakan seorang yang paling penting untuk setiap anak itu.
Ibu yang telah melahirkan seorang anak. Islam mengajar bagaimana seseorang anak itu perlu menghormati dan menyanyangi ibunya seperti ibarat 'syurga dibawah telapak kaki seorang ibu'. Malahan, salah satu dosa besar di dalam islam ialah derhaka kepada ibu bapa. Oleh yang demikian, umat islam seharusnya tidak patut melupakan jasa ibu walau sesaat sekalipun, jangan pula kita hanya memperingati jasa ibu sekali dalam setahun.
Dewasa ini, dek kemajuan dan permodenan sekarang, kebanyakkan anak-anak yang telah bekerjaya dan berumahtangga tinggal berjauhan dengan ibu bapa untuk mencari rezeki yang halal. Ini tidak perlu dijadikan halangan besar untuk si anak untuk terus memberi bakti kepada ibu bapa mereka yang masih hidup. Dengan teknologi maklumat, kita boleh menggunakan kecangihan internet dan telefon untuk sekurang-kurangnya bertanya khabar untuk mengubat rindu hati ibu bapa.
Bagi anak-anak yang telah kematian ibu bapa, hanya doa untuk ibu bapa yang telah meninggal dunia. Bahkan anak yang soleh yang ditinggalkan oleh ibu bapa juga merupakan salah satu amalan yang tidak terputus apabila matinya seseorang hamba itu. Oleh itu, marilah kita semua merenung sejenak walaupun budi yang ditabur untuk ibu bapa kita tidak akan menyamai jasa mereka menjaga kita dari kecil hingga sekarang, akan tetapi kita seharusnya tidak perlu putus harapan untuk terus berbakti untuk ibu bapa kita didunia hingga akhirat.
No comments:
Post a Comment