Monday, August 17, 2009

Lagi Pilihanraya Kecil dan Tragedi di Masjid Gaza

Tidak sampai sebulan pilihanraya kecil Manek Urai di Kelantan berlalu, hari ini pula penamaan calon bagi pilihanraya kecil Permatang Pasir di Pulau Pinang. Pertandingan kali ini juga diantara parti UMNO dan PAS. Kedua-dua parti yang mewakili orang melayu.
Uniknya, pilihanraya kecil kali ini diadakan pada bulan Ramadhan. Seluruh umat islam akan menunaikan kewajipan berpuasa di bulan ini.Diharapkan parti-parti politik yang bertanding menghormati bulan Ramadhan ini dengan berkempen secara baik. Kepada jentera-jentera pilihanraya serta ahli yang terlibat tidak terlalu mengikut emosi dan nafsu sehingga tidak dapat mengawal perasaan semasa berkempen.
Ramadhan mengajar umat islam supaya sabar, menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Dari sinilah, intitusi ramadhan melatih umat islam supaya menjadi seorang yang sabar dan baik.
Baru-baru ini, berlakunya pertumpahan darah dikalangan masyarakat Palestin di Gaza. Salah seorang pemimpin ekstremis yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, semasa dalam khutbah Jumaat disebuah masjid di Gaza beliau telah menyatakan ingin membentuk sebuah negara Islam sendiri di Gaza dibawah pemerintahan syariah islam. Lalu, beliau serta pengikut-pengikutnya telah diserang olah pihak berkuasa Hamas di Gaza menyebabkan beliau sendiri terbunuh dalam pertempuran itu. Tentunya pihak zionis Israel bergembira dengan kejadian ini.
Rakyat Palestin yang telah berpecah dua antara pihak Fatah dan Hamas sejak berdekad lamanya inilah juga merupakan suatu kejayaan bagi pihak Israel. Tidak dapat dinafikan, percanggahan pendapat tidak pernah luput dikalangan umat manusia ini, walaubagaimanapun kita seharusnya merujuk kembali kepada Al-Quran dan Hadis sebagai panduan hidup.
Saya gabungkan dua cerita berbeza dalam penulisan ini untuk pembaca menilai dan membandingkan kemana halatuju masyarakat melayu yang beragama islam di negara kita selepas ini. UMNO dan PAS masih menjadi seteru antara mereka. Oleh itu, sempena kita akan menyambut Ramadhan yang akan tiba, marilah kita mengambil iktibar daripada intitusi Ramadhan ini, mengajar kita menjadi orang beriman dan Hamba Allah yang bertaqwa. Marilah kita balik semula kepada ajaran Islam yang sebenar.

No comments: