Beberapa bulan lalu, kita dikejutkan dengan bumbung runtuh di stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak Kuala Terengganu yang baru beberapa tahun dibina. Alangkah nasib baik tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Rentetan selepas itu pula, bumbung sebuah masjid di Kemaman Terengganu yang dalam proses pembinaan pula roboh. Pelbagai reaksi oleh orang awam dan pihak-pihak yang berkenaan timbul akibat dari kejadian ini. Pihak kerajaan negeri, Jabatan Kerja Raya termasuk juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bersama-sama meneliti dan mengkaji bagaimana kejadian sebegini boleh berlaku.
Belum pun proses penyiasatan 2 kejadian itu selesai, pada 27/10/09 kita dikejutkan pula dengan kejadian jambatan runtuh di Kampar, Perak. Paling menyedihkan, ianya melibatkan korban kanak-kanak. Bagaimana jambatan yang dibina hanya hampir sebulan yang lalu boleh runtuh. Inilah dikatakan kuasa Tuhan semuanya. Saya tidak nafikan kejadian itu adalah ketentuan Tuhan. Yang menjadi persoalannya, bagaimana sebuah jambatan yang dibina hanya hampir sebulan yang lalu boleh runtuh tanpa ribut atau taufan.
Jika dinilai, dengan peralatan moden dalam bidang kejuruteraan sekarang, dimanakah silap dalam pross pembinaan jambatan ini. Adakah ianya disebabkan oleh faktor-faktor manusia yang tidak amanah dalam kerjanya. Ataupun kecuaian manusia itu sendiri dalam melaksanakan tugas. Oleh itu, saya berpendapat, pentingnya amanah dalam setiap pekerjaan. Hiasilah dalam diri setiap kita semua dengan salah satu sifat Nabi kita ini iaitu amanah untuk kesejahteraan hidup.
No comments:
Post a Comment